19.10.09- Isnin
Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM - Utusan Malaysia
BANGSA British memang amat suka membaca. Pengalaman setahun penulis di perantauan (di Edinburgh, Scotland) memang menguja kesabaran. Sabar melihat buku-buku yang dijual dengan harga yang amat murah! Sabar juga melihat bangsanya yang begitu amat meminati buku – mencintai buku.
Di mana-mana sahaja buku. Di kedai jual baju, jual kaset, jual kasut, di tepi jalan, di pasar lambak (Car Boot Sale), di mana-mana sahaja tentu ada buku. Harganya daripada semahal-mahal puluhan pound hinggalah ke semurah-murah 10 pence. Merangkumi pelbagai judul.
Bangsanya pula daripada tua hinggalah ke muda, memang suka membaca. Sama ada sambil menunggu bas, di atas bas, di taman-taman bunga pada musim panas, semuanya memegang buku. Sama ada novel ataupun buku ilmiah.
Bangsa yang suka membaca ini, tentunya bahan bacaan itu akan mempengaruhi sikap dan budaya hidup mereka. Penulis melihat, walaupun bangsa Scottish ini gah dengan ilmu kejuruteraannya yang hebat, tidak kurang juga mempunyai barisan sasterawan hebat seperti Sir Walter Scott.
Pembacaan nampaknya banyak memberikan kesan yang cukup mendalam terhadap pembinaan bangsa Scottish ini. Terdapat sebuah muzium penulis di tengah- tengah Edinburgh, yang menempatkan khazanah sastera dan bukunya yang cukup hebat. Malah, ada juga ura-ura untuk menjadikan bandar itu sebagai bandar penulis/buku. Juga pada setiap tahun, sebulan di musim panas akan berlangsung Art Festival Edinburgh (FRINGE) yang juga mengundang puluhan penulis untuk bertemu para peminatnya.
Persoalannya, bagaimanakah bangsa ini begitu komited dengan gerakan membaca, yang nampaknya bukan lagi sekadar satu gerakan, tetapi telah menjadi budaya bangsa British beratus tahun lamanya?
Semasa di sana, apa yang telah penulis lihat dan rasai adalah kesan jangka masa panjang pembinaan budaya membaca di kalangan rakyat British. Ia bukanlah kerja satu malam. Semua pihak telah memainkan peranannya secara berkesan.
Misalnya, program BigRead (pada tahun 2004) yang merupakan satu program mencari 100 buah buku paling popular di United Kingdom (UK), telah berjaya diadakan. Yang terpenting ialah program ini telah dilakukan secara bersepadu oleh pihak-pihak media, seperti TV, radio, Internet dan juga usahasama beberapa buah kedai buku.
TV UK, misalnya BBC 1, telah menyiarkan program mengulas buku-buku yang tersenarai itu setiap minggu. Manakala, orang ramai boleh mengundi buku-buku kegemaran mereka menerusi Internet. Toko-toko buku pula akan menjual buku-buku yang tersenarai itu dengan melabel dan meletakkannya pada rak-rak khas yang tercetak BigRead di muka depannya.
Ia umpama carta muzik di kaca TV kita. Mengapakah program yang baik itu tidak mendapat tempat di dalam masyarakat kita (ini hanyalah satu andaian penulis, kerana mungkin tidak pernah mencuba lagi). Sebaliknya, kita lebih senang menciplak bulat-bulat program-program hiburan berasaskan realiti show dari negara itu.
Mengambil contoh Amerika Syarikat yang juga merupakan salah sebuah negara yang ‘bebas’ (menerusi peperangan saudara) daripada Britain, juga membawa budaya membaca bersama-samanya. Memang benar, kebanyakkan rakyatnya adalah dari negara-negara maju, termasuklah Britain, tetapi alangkah hairannya mengapa rakyat negara kita yang juga bebas daripada pemerintahan British tidak pula membawa sekali budaya yang baik itu?
Perkembangan budaya membaca di Amerika Syarikat misalnya, telah dimulakan dengan pembinaan perpustakaan-perpustakaan peribadi rakyatnya (yang juga pada masa itu masih lagi merupakan bangsa British) dan juga kedai-kedai buku di mana kebanyakkan buku telah diimport dari Britain.
Perpustakaan-perpustakaan peribadi dan kedai-kedai buku itu kemudiannya telah dijadikan sumber perniagaan, iaitu dengan menjadikannya sebagai perpustakaan pinjaman berbayar (lending library atau lebih dikenali sebagai circulating library).
Mengikut kajian , didapati William Rind merupakan orang pertama yang mempopularkan perpustakaan sirkulasi itu (tahun 1762). Malangnya usahanya itu gagal. Namun begitu, impaknya amat besar terhadap pembudayaan membaca di kalangan rakyat Amerika selepas itu.
Sesungguhnya pembinaan circulating library itu telah lama berputik di Britain, dengan mempunyai 365 perpustakaan sirkulasi. Berlin juga telah lama mempunyai perpustakaan sirkulasi itu sejak tahun 1704 lagi!
Maknanya, apa yang ingin penulis sampaikan di sini ialah, bagaimana peniruan positif telah dilakukan di Amerika Syarikat dari negara asalnya iaitu Britain dan negara-negara Eropah yang lain. Seperti mana yang telah disebutkan oleh Rind, bahawa usahanya itu bukanlah satu perkara benar- benar yang baru, sebaliknya hanya idea yang baru di rantau tersebut.
Maka, di manakah kita? Mengapa begitu ramai lulusan graduan kita yang pulang dari Britain tidak pula berusaha bersama- sama melakukan perkara yang sama seperti Rind? Bukanlah maksud penulis semata-mata membuka perpustakaan sirkulasi itu, malah mengambil idea-idea bernas dari negara-negara maju itu kembali ke negara kita, Malaysia.
Namun, tidak disangkal ramai juga graduan kita yang pulang dari Britain membawa budaya membaca bersama-sama mereka. Tetapi, bagaimanakah mereka boleh dibawa bersama menggembleng tenaga bersama untuk mencari alternatif untuk menggerakkan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia?
Usaha ini tidak mungkin boleh dilakukan sendirian. Malah perlu diusahakan secara menang-memenangkan (win-win) antara pembaca–penulis–penerbit–peniaga buku.
Kita tidak mungkin dapat melahirkan masyarakat pembaca, seperti British, dalam masa sebulan dua. Kita juga tidak dapat merealisasikan harapan ini dengan hanya bergantung harap kepada satu pihak sahaja, malah harapan ini perlulah ditanggung bersama antara kita.
Harapan kita, adalah untuk menjadi bangsa yang cintakan buku, cintakan pengetahuan, dan seterusnya membuka hati dan fikiran kita ke arah ketakwaan kita kepada Pencipta kita.
No comments:
Post a Comment